Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 24 JUN 2021 : Faktor kemelesetan ekonomi ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu menyumbang terhadap pelbagai kes tekanan mental sekali gus meningkatkan perlakuan jenayah termasuklah keganasan rumahtangga.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata, kebanyakan mangsa mengalami tekanan akibat masalah ekonomi yang disebabkan kehilangan punca pendapatan ekoran dibuang kerja kerana berbagai sektor ekonomi lumpuh akibat perlaksanaan PKP sejak setahun lalu.
Katanya, penutupan banyak sektor perniagaan, pelancongan, perhotelan dan sebagainya memaksa banyak pengusaha mengecilkan bilangan pekerja dan ini sangat memberi impak terhadap pekerja kerana menghadapi kesempitan kewangan sekali gus mendorong terhadap perlakuan keganasan rumahtangga.
“Sejak Januari hingga Mac tahun 2021, Pahang mencatatkan sebanyak 77 kes keganasan rumahtangga dengan majoriti 75 kes melibatkan wanita manakala 2 kes lagi melibatkan lelaki.
“Jumlah ini meningkat sedikit berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan kesemua kes telah diuruskan oleh JKM dan pihak polis,” katanya pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat berbagai bentuk keganasan rumahtangga yang dilakukan pelaku antaranya termasuklah penderaan fizikal dan psikologi, keganasan terhadap harta benda yang dapat menimbulkan ketakutan serta mengugut dan mengaibkan mangsa menerusi pelbagai medium komunikasi.
Kerajaan telah menyediakan berbagai bentuk bantuan terhadap mangsa keganasan rumahtangga antaranya rumah perlindungan, bantuan perkhidmatan tele-kaunseling, perlindungan khas terhadap mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak dan bantuan kewangan kepada mangsa.
“Bagi melindungi mangsa ini, tiga arahan atau perintah iaitu Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) mengikut keperluan dan kesesuaian kes-kes yang diterima dan mereka akan diberikan perlindungan daripada pelaku,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah aduan yang diterima terhadap tekanan ketika pandemik COVID-19 di Pahang turut meningkat antara 44 hingga 57 peratus merangkumi pelbagai faktor di kalangan pesakit COVID-19, barisan hadapan (frontliner) sehingga menghadapi insomnia selain faktor utama adalah berpunca daripada ekonomi.
Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau menghantar pesanan menerusi aplikasi Whatsapp di talian 019-2615999 bagi mendapatkan bantuan. – PAHANGMEDIA