COVID-19 : SATU KLUSTER BAHARU BERKAITAN PASAR RAYA DI BERA, 18 POSITIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 24 JUN 2021 : Satu kluster baharu melibatkan sebuah pasar raya dilaporkan di Bera hari ini dengan 18 individu positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster ini dikenali sebagai Kluster Sentral Triang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Awang Ngah.

“Kluster ini mula dilaporkan pada 24 Jun 2021 di daerah Bera. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kes indeks bekerja iaitu di sebuah pasar raya di Jalan Sentral Triang di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja.

“Kluster ini bermula apabila salah seorang pekerja pasar raya telah pergi menjalani saringan bergejala di klinik kesihatan bersama seorang ahli keluarga. Keputusan swab PCR kedua-duanya disahkan positif pada 17 Jun 2021.

“Hasil saringan kontak rapat keluarga mendapati kesemua enam (6) ahli keluarga yang tinggal serumah juga positif. Seramai 137 individu telah disaring dalam kluster ini dengan 18 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 116 kes.

“Kes ke-115 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 73 tahun dari Felda Tembangau 1, Bera. Kes mempunyai latar belakang penyakit diabetes dan hipertensi.

“Kes ke-116 merupakan seorang lelaki berbangsa Cina berumur 58 tahun dari Jalan Warga Emas, Triang, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.

Menurut beliau lima kluster aktif yang direkodkan di negeri ini mencatatkan pertambahan sebanyak 93 kes hari ini.

“…iaitu Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 27 kes dengan jumlah keseluruhan 46 kes), Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 44 kes dengan jumlah keseluruhan 115 kes), Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 47 kes).

“Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 11 kes dengan jumlah keseluruhan 286 kes) dan Kluster Jaya Gading (pertambahan 5 kes dengan jumlah keseluruhan 180 kes),” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 132 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 30 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 154 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan lapan (8) kes import (3 dari Kuala Lumpur dan 5 dari Negeri Sembilan). Terdapat 100 kes diperolehi daripada saringan kluster, 49 saringan kontak rapat, 12 saringan bergejala dan 1 saringan pra prosedur,” katanya.

Sebanyak 162 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 12,618 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download