Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 24 JUN 2021: Polis meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar mengenai Kluster Indera Mahkota 16 yang melibatkan sebuah pasar raya di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, setakat ini tindakan pantas telah diambil oleh pihak polis dan keadaan masih terkawal.
“Kita telah membuat pemeriksaan ke atas asrama pasar raya berkenaan dan mendapati tidak terurus serta kotor. Ini antara punca penularan jangkitan COVID-19 meningkat.

“Turut hadir sama dalam pemeriksaan pemantauan tersebut ialah Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf yang turut sendiri ke lapangan bagi melihat proses kawalan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak pengurusan pasar raya berkenaan memberikan kerjasama yang baik dalam membendung penularan wabak ini serta segala arahan penutupan sementara premis telah dilaksanakan dan keadaan terkawal.
Sementara itu, polis juga akan terus melakukan pemeriksaan secara mengejut keatas semua premis termasuk kilang dan pasar raya daripada semua sektor secara mengejut bagi mengawal penularan wabak ini didalam Daerah Kuantan.
“Pihak penguatkuasa juga akan terus melakukan pemantauan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar SOP yang telah ditetapkan,” tegasnya. – PAHANGMEDIA