Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 21 JUN 2021 : Sasaran Kerajaan Pahang untuk mencapai kadar 80 peratus penduduk di negeri ini yang menerima vaksin COVID-19 menjelang akhir Oktober dapat dicapai sekiranya ditambah lebih banyak unit-unit bergerak.
Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata ini memandangkan kejayaan pada program di Dewan Negeri Jelai baru-baru ini.

“Orang Asli pada peringkat awal hari tu ada yang risau, ada yang terpengaruh dengan dakyah dan kempen anti vaksin tapi selepas beberapa siri perjumpaan yang dibuat di DN Jelai khususnya bersama Tok Batin, kita nampak tanda positif dan program outreach kita berjaya.
“Kalau outreach ni masuk ke perkampungan Orang Asli, perkampungan tradisi, FELDA, kita akan capai sasaran 80 peratus seperti yang dijangkakan menjelang akhir Oktober. Kita boleh capai dengan syarat outreach program kena banyak dan vaksin kena mencukupi.
“Bila outreach program ini, mereka melihat orsng yang disuntik vaksin itu depan mata mereka, dia nampak sendiri orang yang lepas disuntik itu keluar tak ada masalah, tak ada apa-apa, okay je. Jadi mereka nampak sendiri dengan mata mereka, dan memberikan gambaran yang sangat jelas. Jadi di pihak Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk banyakkan outreach program,” katanya ketika ditemui Unit Media dan Komunikasi Pahang (UKOMP) di semasa Program Vaksinasi 20 Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera (MDB), di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi kempen Orang Asli Pahang Sokong Imunisasi COVID-19 (OAPSIC19), pihaknya akan mengadakan di dua kawasan Bera pada hujung bulan ini.
“Di Bera, kita akan buat pada 29 dan 30 Jun di Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam. Saya difahamkan sambutan sangat menggalakkan.
“Jadi kita sekarang jangan fikir mereka daftar atau tidak dalam MySejahtera tapi kita bawa saja vaksin, beritahu pada orang kampung, kepimpinan kampung berkenaan pada sekian sekian tarikh, sekian masa, sekian waktu, kita akan adakan outreach program, kita akan bawa vaksin ke kampung.
“Satu perkara lagi, kita kena jelaskan cadangan Kerajaan untuk beri vaksin satu dos kepada Orang Asli. Ini kerana ada isu di kalangan mereka, dibangkitkan dia kata kenapa Orang Asli nak diberi satu saja dos tapi orang lain dua dos. Kita akan menjelaskan kepada mereka perkara ini tetapi dengan cara mudah, kalau kita terangkan dalam cara susah, mereka akan menolak (suntikan vaksin COVID-19) ini,” katanya. -PAHANGMEDIA