Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 21 JUN 2021 : Kira-kira 2.05 peratus Orang Asli di negeri ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat hari ini daripada 54,154 orang Orang Asli yang layak divaksinkan yang berusia 18 tahun ke atas.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Encik Johari Alwi berkata daripada jumlah keseluruhan yang layak menerima vaksin, 25,000 orang daripadanya telah memberikan persetujuan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kita ada 54,154 orang Orang Asli yang layak divaksinkan yang ini 18 tahun ke atas. Daripada 54,000 itu kita dah dapat persetujuan 25,000 lebih untuk divaksinkan.
“Dan yang telah divaksinkan setakat hari ini, jangkaan kita ialah 1,200 hingga 1,500 orang. Lebih kurang 2.05 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Tapi kalau kita lihat jumlah persetujuan itu, dia dah lebih 50 peratus yang kita nak. InsyaAllah seperti mana yang telah kita sasarkan mungkin akan selesai by Oktober,” katanya ketika ditemui semasa Program Vaksinasi 20 Tok Batin dan Pengerusi JPKKOA Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera (MDB), di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya merekodkan jumlah pendaftaran untuk menerima vaksinasi meningkat mendadak berbanding awal Mei lepas.
“Daripada awal Mei, kita hanya dapat sekitar 4,000 lebih yang bersetuju tapi tidak sampai dua bulan kita dah capai 25,000 yang bersetuju. Jadi memang peningkatan mendadak sangat naiklah.
“Ini adalah hasil daripada kempen Orang Asli Pahang Sokong Imunisasi COVID-19 atau OAPSIC19 dan di bawah kempen ini kita mendapat kerjasama yang sangat baik terutamanya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pejabat Daerah dan Tanah iaitu pegawai-pegawai daerah, Unit Hal Ehwal Orang Asli yang diketuai oleh Dato Olian sendiri, baik YAB Menteri Besar sendiri
“Dan kalau kita lihat program atau strategi outreach PPV ini telah memberi impak yang sangat tinggi kepada persetujuan Orang Asli untuk divaksinkan. Contohnya baru ini di Lipis, asalnya hanya 400 orang sahaja yang mengisi borang kebenaran untuk bersetuju tetapi masa kita dengan pihak KKM masuk ke dalam dengan PKD, peningkatan itu mendadak sehingga 1,000 lebih dan kita berjaya vaksinkan 750 orang untuk di Jelai saja. Dan insyaAllah selebihnya akan dibuat kemudian selepas kita mendapat green light daripada KKM atau PKD,” katanya.
Beliau berkata setakat ini pihaknya memfokuskan untuk memberi suntikan vaksinasi di kawasan kampung Orang Asli dan bukan mereka perlu ke luar untuk mendapatkan suntikan.
“Fokus kita outreach nak pergi ke tempat dia. Jadi dia tak boleh keluar. Contoh kita buat di Lipis, di Betau, memang kita masuk ke kawasan kampung dia sendiri. Maknanya ramailah yang datang.
“Asalnya memang kita nak bawa keluar tapi bila kita nak bawak keluar sambutan itu memang kuranglah. Tapi bila kita bawa masuk vaksin, Alhamdulillah contoh daripada 90 orang setuju pada awalnya tapi yang pergi (menerima suntikan) sehingga dekat 200 orang. Itu dia punya impaklah. Jadi, program outreach ini sangat berjaya.
“Dalam kalangan Tok Batin ini juga sangat positif. Cuma ada sebahagian yang masih belum bersedia tapi majoriti Batin telah bersetuju (terima suntikan vaksin) termasuk dengan Pengerusi JPKOA,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya juga menggunakan bahasa suku kaum Orang Asli untuk menyampaikan berita atau memberikan penjelasan berkenaan sesuatu isu.
“Ada cerita-cerita yang tidak benar, cerita-cerita palsu yang banyak mempengaruhi mereka disebarkan menggunakan bahasa mereka itu sendiri jadi lebih cepat mereka terpedaya. Tapi kita cover dengan kaedah yang sama juga.
“Bila mereka keluarkan dengan bahasa Orang Asli perkara viral yang palsu, jadi kita keluarkan balik dengan bahasa yang sama. Kita counter balik. Itu kaedah yang kita guna. Sebab bila menggunakan bahasa yang sama ia lebih cepat memberi kesan.
“Jadi kita masuk, kita bagi info yang betullah supaya mereka yakin. Sebab itulah kita masuk outreach ini. Bila doktor sendiri masuk dengan kakitangan kesihatan masuk dalam kampung, jadi informasi itu jadi lebih tepat dan mereka lebih percaya,” katanya. -PAHANGMEDIA