Gambar hiasan

‘BOI MA BETHONG YOK VAKSIN’

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 21 JUN 2021 : ‘Boi ma bethong yok vaksin’ yang bermaksud jangan takut untuk ambil vaksin dalam bahasa Orang Asli suku Semelai merupakan nasihat Puan Minah Loing, selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.

Minah, 47, dari Kampung Bukit Gemuruh berkata setelah pulang nanti dia ingin memberitahu rakan-rakan di kampung yang masih belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin ini supaya segera mendaftar kerana suntikan ini tidak sakit.

“Rasa macam biasa saja suntik (vaksin COVID-19) ini, rasa kesan cucuk itu saja. Kalau kena duri lagi sakit.

“Balik nanti saya nak beritahu kawan-kawan yang belum daftar jangan takut suntik. Mereka takut sebab tak nampak lagi kesan (kebaika suntikan vaksin COVID-19) ini,” katanya.

Beliau berkata dia mendaftar untuk menerima suntikan vaksinasi ini kerana merasa wajib dan bertanggungjawab untuk memutuskan penularan pendemik COVID-19 ini.

“Semua orang wajib ambil vaksin ini sebab ia benda baik. Lagipun kita tak tahu bila nak habis (COVID-19) ini kalau kita tak ambil suntikan.

“Kalau tak ambil suntikan, benda ini (penularan COVID-19) tak akan habis sebab ia makin menular dari seorang ke seorang dan nanti makin ramai,” kata ibu kepada empat anak berusia 20 tahun hingga 30 tahun ini.

Sementara itu, menurut Tok Batin Pigi Amau, dari Kampung Chuat berkata belajar berharap wabak COVID-19 ini dapat diputuskan dengan segera melalui suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan ini.

“Buat masa ini hanya saya seorang yang menerima suntikan vaksin ini daripada kampung saya tapi setakat ini di kampung, yang layak (terima suntikan vaksin) ada dalam 100 orang lebih dan mereka tengah tunggu panggilan (ke Pusat Pemberian Vaksin).

“Selain itu, kita juga kena jaga diri kita daripada dijangkiti COVID-19 ini dengan jaga kebersihan, pakai pelitup muka, tidak boleh suka-suka keluar masuk.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan banyak membantu rakyat dengan pemberian suntikan vaksin COVID-19 yang tidak mengira bangsa.

Mereka merupakan antara 20 Tok Batin dan masyarakat Orang Asli suku kaum Semelai daripada 490 penerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di sini, hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download