KUANTAN, 15 JUN 2021; Kerajaan Pahang akan bertindak segera atas titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan peluasan Hutan Simpanan Kekal Chini daripada 4,600 hektar sepertimana Kerajaan Negeri luluskan untuk pewartaan pada 13 Mac 2019, kepada antara 6,000 dan 7,000 hektar yang dititahkan Baginda semalam.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang menjunjung kasih dan menjunjung titah atas titah saranan Baginda mengenai pelbagai perkara berkenaan pemuliharaan Tasik Chini.

Beliau berkata, titah saranan ini melambangkan keprihatinan tinggi KDYMM Tuanku mengenai hal-ehwal negeri termasuklah berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, apatah pula melibatkan Tasik Chini.
Menurutnya, titah saranan itu juga jelas menunjukkan kebijaksanaan KDYMM Tuanku dalam urusan pengendalian isu, dan isu mengenai alam sekitar khususnya Tasik Chini sememangnya dekat di hati KDYMM Tuanku.
“Sehubungan itu, jabatan-jabatan berkenaan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri, telah pun diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, peluasan itu wajar yang dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjagai dan memelihara serta memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.
Beliau berkata, peluasan itu juga wajar dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenainya.
“Sepertimana semua sedia maklum, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.

“TCRB berlandaskan tiga teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies dan hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau juga berkata, Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang bebeza. Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititahsarankan, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan.
Menurut beliau, apabila TCRB dapat dijayakan dengan lebih berkesan ia sekaligus dapat turut menyempurnakan titah saranan KDYMM Tuanku agar pengiktiarafan bertaraf dunia oleh UNESCO itu, dapat terus dipertahankan.

“Kerajaan Negeri akan turut segera berusaha melaksanakan kerja-kerja penanaman semula sepertimana kerja-kerja penanaman semula hutan yang setakat ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM250,000 untuknya. Lagi RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya lagi,” katanya.
Selain itu menurut beliau, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR), dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguaktkuasaan negeri dan Persekutuan.-PAHANGMEDIA