KUANTAN, 15 JUN 2021: Kerajaan Pahang berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan proses pemberian vaksin COVID-19 kepada penduduk di negeri ini, melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula sejak Mac 2021.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga 12 Jun 2021, hanya 11.7 peratus rakyat Negeri Pahang (dari sasaran 1,231,800 juta) telah menerima suntikan vaksin bermula dari Fasa 1 yang bermula pada Mac 2021.
Beliau berkata, sehingga kini, purata penerima vaksin harian di Negeri Pahang hanya sekadar 963 orang pada setiap hari iaitu jauh daripada sasaran berpunca dari kekurangan bekalan vaksin.
“Sasaran 1,231,800 juta orang untuk menerima vaksin pada 31 Disember 2021 hanya akan dapat dicapai sekiranya pemberian vaksin harian adalah sebanyak purata 7,550 orang sehari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau juga berkata, Kerajaan Pahang berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengambil langkah dan inisiatif bagi menyegerakan pembekalan suntikan vaksin COVID-19 kepada negeri ini agar sektor ekonomi, sosial dan pembangunan secara keseluruhannya dapat dipulihkan secepat mungkin.-PAHANGMEDIA