Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 15 JUN 2021: “Guru banyak membantu dan memberi inspirasi kepada saya untuk berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” itu kata pelajar cemerlang Orang Asli, Rozainizam Azizan yang memperoleh 9A dalam SPM.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah itu berkata, guru banyak membantunya dalam mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
“Antara kunci kejayaan saya adalah sentiasa menjaga hubungan dengan semua guru dan tidak sesekali ponteng kelas walaupun pengajian dibuat secara atas talian,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang, hari ini.
Katanya, pembelajaran secara atas talian sedikit sebanyak menyukarkan komunikasi dua hala antara guru dan pelajar ditambahkan dengan keadaan capaian internet yang kurang memuaskan.
“Tetapi halangan tersebut tidak pernah melunturkan semangat saya untuk teruskan sesi pengajian yang telah ditetapkan sehingga mencapai kejayaan pada hari ini,” katanya.
Katanya, cita-cita ingin menjadi Ahli Mikrobiologi Perubatan juga menjadi aspirasi kepadanya untuk berjaya di di samping minat yang mendalam terhadap subjek Biologi sejak dari awal lagi.
“Saya ingin menyumbang kepakaran untuk negara pada masa akan datang sebagai Ahli Mikrobiologi Perubatan kerana terkesan dengan wabak COVID-19 yang berlaku.
“Saya harapkan kepada pelajar di luar sana agar teruskan usaha tanpa kenal erti putus asa dan sentiasa berfikiran positif agar terus maju jaya,” katanya,
Beliau juga berharap agar masyarakat membuang stigma negatif terhadap masyarakat Orang Asli kerana mereka ini sudah banyak terbuka dalam menerima perubahan dan juga ingin maju jaya disamping mahu bersama memajukan negara. – PAHANGMEDIA