Penguatkuasa KPDNHEP membuat pemantauan minyak masak di sebuah pasar raya di Kuantan.

KPDNHEP PAHANG PANTAU KENAIKAN HARGA MINYAK MASAK

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 08 JUN 2021: Bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi dan tidak mempunyai masalah di semua peringkat rantaian pengedaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang, Tuan Normaswari Nordin berkata, terdapat dua kategori minyak masak di pasaran Negeri Pahang iaitu minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi.

“Hanya minyak masak paket 1 kilogram sahaja yang dikategorikan sebagai bersubsidi yang mana harganya telah ditetapkan RM2.50 bagi sepaket 1 kilogram, manakala minyak masak yang lain termasuk dalam kategori tidak bersubsidi.

“Peruncit dibenarkan menghadkan pembelian tiga paket minyak masak satu kg bersubsidi bagi setiap pelanggan di premis yg menjual minyak masak untuk memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi. Sepanjang tahun ini, KPDNHEP negeri Pahang hanya menerima dua aduan melibatkan harga dan bekalan bagi minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan setiap hari terhadap 85 premis perniagaan yang menjadi tumpuan awam di negeri ini.

“Disamping itu, sejumlah 307 premis di bawah skim “Dedicated Retailer” (DDR) dan “Dedicated Wholeseller” (DDW) sentiasa dipantau tahap keberadaan bekalan barang keperluan pengguna termasuk minyak masak.

“Untuk rekod, sepanjang tahun ini, KPDNHEP Negeri Pahang telah menjalankan sebanyak 25,243 pemeriksaan ke atas premis perniagaan. Daripada jumlah ini, 32 kes telah dihasilkan berkaitan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan nilai rampasan sebanyak RM128,870.45 dan kompaun sebanyak RM32,400,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, harga minyak masak meningkat sehingga 24 peratus bermula suku keempat tahun lepas berikutan kenaikan harga di peringkat pengilangan.

“Susulan laporan oleh pihak media berhubung isu kenaikan harga minyak masak di pasaran, KPDNHEP Pahang telah menjalankan analisa ke atas pengkalan data harga dan siasatan lanjut ke atas semua rantaian pengedaran.

“Hasil analisa mendapati terdapat kenaikan harga di antara 16 peratus hingga 24 peratus mengikut jenis dan jenama minyak masak bermula pada suku keempat tahun 2020.

“Hasil siasatan yang dijalankan pula mendapati punca kenaikan adalah disebabkan oleh harga yang lebih tinggi  diperingkat pengilangan akibat kenaikan harga pasaran Crude Palm Oil (CPO) dunia,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download