KUANTAN, 8 JUN 2021: 20 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dari kawasan Jaya Gading dan Sri Damai di sini menjadi kumpulan pertama dalam kalangan komuniti di negeri ini yang dilibatkan sebagai petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penglibatan petugas PKOB dalam kalangan kepimpinan JKKK itu dimulakan di kawasan Jaya Gading di sini yang dilaksanakan PKPD bermula pada Selasa hingga 21 Jun depan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kumpulan tersebut telah dipilih dan didaftarkan di bawah PKOB dengan kebenaran pegawai daerah sebagai pengerak dan pembantu pihak berkuasa dalam kawasan tersebut.
“Kumpulan ini bukan penguatkuasa sebaliknya peranan mereka hanya sebagai pemantau dan membantu untuk tugas penyaluran bantuan.
“Kumpulan ini tinggal dalam kawasan Jaya Gading jadi mereka arif dengan kawasan dan penduduk di sini jadi mereka akan lebih tahu permasalahan dan keperluan serta membantu menyalurkan maklumat berkaitan untuk tindakan para petugas dan pihak keselamatan.
“Mereka dilibatkan bersama dengan petugas sedia ada termasuk polis dan lain-lain agensi mengikut jadual tugas yang ditetapkan,” katanya selepas meninjau persiapan pelaksanaan PKPD di Jaya Gading di sini pada malam tadi.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Tuan Lah.
Mohamad Noor berkata, petugas PKOB dalam kalangan pemimpin komuniti ini disediakan ‘vest’ tertera perkataan PKOB sepanjang bertugas.
“Melalui penglibatan bersama petugas PKOB ini, akan membantu tugas-tugas melibatkan anggota masyarakat dalam kawasan ini manakala petugas dan pihak keselamatan akan fokus kepada perkara utama lebih penting,” katanya.
Tambah beliau, peranan petugas PKOB dalam kalangan pemimpin JKKK itu boleh dilaksanakan di kawasan-kawasan lain yang dilaksanakan PKPD. – PAHANGMEDIA