Presiden Majlis Belia Malaysia Negeri Pahang, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid turut menderma darah dalam program derma darah di HTAA hari ini. Sebanyak 200 beg bungkusan darah telah berjaya diperoleh sepanjang dua hari program ini dijalankan.

BEKALAN DARAH HTAA BERKURANG 50 PERATUS

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 07 JUN 2021: Bekalan darah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berkurang sehingga 50 peratus sejak pandemik COVID-19 bermula.

Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi HTAA, Dr. Rashidah Abdul Rahman berkata, pihaknya kini hanya dapat sebanyak kira-kira 250 beg bekalan darah bagi tempoh seminggu.

Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi HTAA, Dr. Rashidah Abdul Rahman

“Berbanding sebelum pandemik, kita dapat bekalan darah kira-kira 400 beg seminggu dan pengurangan ini disebabkan orang ramai takut untuk keluar menderma semasa keadaan begini.

“Bekalan darah yang berkurang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pesakit yang memerlukan seperti pesakit Talasemia, ibu bersalin, mangsa kemalangan dan sebagainya.

“Bekalan darah berkurang tidak bermakna penggunaannya juga akan berkurang, malah kadar penggunaan tetap sama bahkan ada masa lebih,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah anjuran Majlis Belia Malaysia Negeri Pahang di HTAA, hari ini.

Program Derma Darah anjuran Majlis Belia Malaysia Negeri Pahang di HTAA, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penderma darah dibenarkan hadir untuk menderma.

“Pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) telah membenarkan kempen menderma darah dan kehadiran penderma adalah digalakkan bagi membantu pusat derma darah.

“Bagi tujuan ini, penderma boleh terus ke pusat derma darah dan hanya perlu membawa buku derma darah atau salinan slip janji temu menderma sebagai bukti perjalanan di sekatan jalan raya (SJR).

“Bagi penderma kali pertama yang tidak memiliki buku derma darah, mereka boleh layari laman web kita untuk menempah slot, dan mencetak slip janji temu ini bagi urusan di SJR,” katanya yang memaklumkan seramai 200 penderma telah hadir menderma pada program ini.

Presiden MBM Pahang, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

Sementara itu, presiden MBM Pahang, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, seramai 60 ahlinya turut sama menderma darah dalam program yang dijalankan pada hari ini dan semalam.

“Kita jalankan program ini setelah mendapat maklumat bekalan darah di HTAA berada pada paras rendah disebabkan PKPD dan PKP.

“Jadi kita cuba kumpulkan ahli-ahli kita untuk menderma darah dan kita juga bercadang untuk mengadakan sekali lagi program seumpama ini pada sambutan Hari Derma Darah, 14 Jun depan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download