Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 31 MEI 2021: Kawasan, mukim dan daerah di negeri Pahang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPD walaupun dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Shah Zakaria berkata, SOP sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang akan dilaksanakan bermula esok tidak membatalkan SOP PKPD sedia ada.

“Sebagai contoh PKPD Kuantan yang sepatutnya berakhir pada 7 jun ini akan dianalisa bagi menentukan sama ada perlu diteruskan atau ditamatkan.
“Keputusan tersebut bergantung kepada laporan kes jangkitan COVID-19,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, mengenai Perkhidmatan Perlu (Essential Services) pula, di kawasan PKPD masih sama seperti sebelum ini dan tidak menggunakan senarai Perkhidmatan Perlu sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
Sementara itu, beliau berkata, masih terdapat segelintir masyarakat yang degil sengaja melanggar SOP PKPD, seperti berjogging di kawasan perumahan walaupun telah diberi amaran.
Beliau juga memohon kerjasama semua masyarakat agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan membantu pelaksanaan PKPD dengan sama-sama membuat aduan segera kepada pihak polis sekiranya ada berlaku pelanggaran SOP PKPD yang ditetapkan.
“Kejayaan memerangi wabak ini memerlukan kerjasama semua, maka perlunya ketegasan semua pihak untuk memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya.
Beliau juga berharap agar masyarakat sama sama menjadi masyarakat yang berdisiplin dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dan jangan ada sikap mementingkan diri sendiri dengan mencari pelbagai alasan untuk melanggar SOP yang ditetapkan hingga menyusahkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. – PAHANGMEDIA