Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
KUANTAN, 30 MEI 2021: Orang ramai yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya sentiasa menyemak aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing bagi memastikan peratusan ketidakhadiran untuk menerima suntikan dapat dikurangkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan peratus ketidakhadiran penerima vaksin di negeri ini masih tidak memuaskan bagi menerima suntikan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Jelas beliau lagi, setakat ini daerah Raub mencatatkan peratus ketidakhadiran sebanyak 45 peratus; Pekan (43 peratus) ; Maran (40 peratus); Bera (28 peratus); Bentong dan Jerantut masing-masing 22 peratus; Temerloh (18 peratus); Rompin (17 peratus); Kuantan (15 peratus); Lipis (14 peratus) dan Cameron Highlands (9 peratus).
“Antara alasan yang diberi ialah tidak menyemak aplikasi MySejahtera, maka tidak sedar tentang lokasi, masa dan tarikh yang ditetapkan untuk menerima vaksin, dan ada juga memberi alasan terlupa.
“Terdapat juga dalam kalangan warga emas yang berubah fikiran setelah terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai pemvaksinan sepertimana disampaikan oleh ahli keluarga dan sahabat, serta yang tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Justeru beliau meminta anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang sudah berusia, bantulah mereka untuk menyemak dan sering ingatkan mereka mengenai tarikh, masa dan lokasi untuk menerima suntikan vaksin.
“Sehubungan itu, saya ingin mendapat maklum balas seluruh anak Pahang tentang apakah punca dan alasan lain bagi mereka yang telah mendaftar, tetapi gagal untuk hadir mendapat suntikan. Apakah juga kerana masalah pengangkutan?
“Sepertimana saya telah katakan, kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok (herd immunity) dengan segera dan ini hanya boleh tercapai jika sebahagian besar kita telah disuntik vaksin.
“Ia agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19, seterusnya dapat kembali menjamin kesihatan awam yang akan dimanfaati oleh kita juga,” katanya, – PAHANGMEDIA