Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 20 MEI 2021: Rakyat di negeri ini menyambut baik langkah Kerajaan Pahang melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah tahun 2021 ke atas semua pemilik tanah berdaftar di negeri ini, sehingga 31 Ogos depan berbanding tempoh akhir asalnya ialah pada 31 Mei ini.
Bagi mereka langkah ini mampu meringankan beban pembayar cukai tanah di negeri ini yang terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19.

Menurut seorang kakitangan swasta, Encik Fitri Farhan Marhalim penangguhan tempoh pembayaran cukai tanah yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang membantu meringankan beban ekonomi yang dihadapinya sekeluarga.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang yang memahami masalah yang dihadapi rakyat ketika ini. Diharapkan lebih banyak kemudahan yang akan diberikan kepada rakyat Pahang selepas ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Bagi Puan Farawaheeda Adam pula penangguhan pembayaran cukai tanah ini dilihat sebagai satu langkah yang baik kerana dapat membantu ramai keluarga yang terkesan.
“Disamping itu juga dapat memberikan masa yang cukup untuk pembayar cukai tanah untuk membuat pembayaran dan ini membuktikan kerajaan Negeri Pahang sangat mengambil berat akan keperluan rakyat Pahang,” katanya.
Sementara itu, Puan Shaliza Sharifuddin berkata, penangguhan ini sebagai satu rahmat kepadanya kerana dapat melanjutkan masa yang sepatutnya dibayar sebelum 31 Mei ini.

“Ini sedikit sebanyak memudahkan urusan dan meringankan beban. Ini jelas menunjukkan keperihatinan Kerajaan Pahang dibawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap keluhan rakyat Pahang khususnya,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam satu kenyataan media semalam berkata, keputusan itu dibuat berasaskan sikap prihatin Kerajaan Pahang kepada masalah yang rakyat hadapi susulan langkah tegas Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke seluruh negara, bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.
Beliau berkata, menerusi langkah tegas ini telah mengehadkan pada tahap tertentu, pergerakan dan perkhidmatan di seluruh negara sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemilik tanah-pemilik tanah berkenaan. – PAHANGMEDIA