Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 MEI 2021 : Pihak polis berpuas hati dengan tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penerimaan pelajar kembali ke kampus Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) bagi mengikuti sesi pembelajaran pelajar tahun akhir, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata daripada keseluruhan pelajar di POLISAS kira-kira 5,000 orang, seramai 744 pelajar akan pulang secara berperingkat sehingga hujung bulan ini.
“Saya berpuas hati dengan langkah yang diambil pihak pentadbiran kolej ini ketika membuat tinjauan bersama dengan pegawai POLISAS ini, yang pertama, saya melihat kehadiran pelajar balik ini dengan bas yang telah disediakan oleh pihak institusi, kemudian apabila sampai, dibuat catatan mengambil suhu dan kemudian pengambilan barang-barang seperti luggage adalah secara tersusun.
“Setelah itu, pelajar masuk ke asrama yang telah ditetapkan, di mana bilik telah disediakan oleh pihak pengurusan kolej, selain itu, dari segi penyediaan makanan, pihak pengurusan telah menyediakan makanan secara berbungkus dan dihantar ke bilik-bilik, dan pelajar tidak perlu keluar ke kafe dan ini satu tindakan yang sangat kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika membuat tinjauan pematuhan SOP bagi pelajar yang pulang semula ke POLISAS di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya difahamkan kesemua pelajar yang pulang ke kampus bermula hari ini merupakan pelajar tahun akhir sahaja dan akan dikuarantin selama 10 hari.
“Pelajar ini akan pulang ke kampus ini secara berperingkat iaitu mengikut negeri mulai hari ini sehingga hujung bulan ini dan mereka yang balik ke sini adalah berdasarkan kepada subjek masing-masing dan hanya melibatkan pelajar tahun akhir sahaja.
“Mereka yang tiba juga akan dikuarantin selama 10 hari dan jika sekiranya ada sedikit gejala seperti selsema atau sebagainya pihak perubatan daripada dalam ini (POLISAS) telah standby untuk membuat pemeriksaan.
“Jadi saya tengok semua langkah dan SOP yang telah dibuat sangat teratur dan kemas dan kita doakan semua pelajar yang balik ini berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Menurut beliau, seramai 605 pelajar iaitu 293 pelajar perempuan dan 312 pelajar lelaki daripada negeri Terengganu dan Kelantan telah pulang ke POLISAS setakat 6 petang tadi.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bersama-sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan peningkatan berterusan jangkitan wabak COVID-19 di negeri ini. -PAHANGMEDIA