Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pahang membuat pemeriksaan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa.

KPDNHEP PAHANG PERIKSA 3,100 PREMIS PERNIAGAAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 18 MEI 2021: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 3,100 premis perniagaan di negeri ini sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa bermula pada 21 April lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Tuan Normaswari Nordin berkata, daripada pemeriksaan itu, sebanyak 12 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan oleh pihaknya dengan nilai kompaun RM2,100.

“Pihak KPDNHEP Pahang turut merampas barangan bernilai RM730 hasil daripada pemeriksaan di 3,100 premis perniagaan membabitkan 3,095 peruncit dan lima pemborong,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan kes membabitkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

“Tiga kes pula peniaga dikesan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum manakala satu kes gagal meletakkan tanda harga jualan barangan.

“Antara lokasi yang dikesan melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ialah di pasar raya dan pasar mini membabitkan penjualan ayam standard, ikan kembung dan telur ayam gred A,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam usaha KPDNHEP melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung yang berlebihan oleh peniaga, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan terus menjalankan pemeriksaan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

“Sesi libat urus dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sahabat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan juga dipertingkatkan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds