Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan.
POLIS PAHANG PANTAU ‘POSTING’ PELANGGARAN SOP AIDILFITRI
Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 18 MEI 2021: Polis Pahang melakukan pemantauan hantaran (posting) di media sosial bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri pada sambutan perayaan itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, pemantauan dibuat bagi memastikan tiada ‘posting’ pada Hari Raya Aidilfitri yang didapati tidak mematuhi SOP Aidilfitri seperti yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun sehingga kini di Pahang, tiada individu yang dikenakan tindakan menerusi pemantauan media sosial oleh pihak polis,” katanya dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menggariskan beberapa SOP Aidilfitri pada sambutan perayaan itu baru-baru ini.
Antaranya adalah larangan melakukan kunjungan ziarah ke kawasan kuburan dan rumah termasuklah rumah ibu bapa dan saudara mara pada hari raya yang dikuatkuasakan sejak 12 Mei 2021.
SOP juga turut melarang sebarang penganjuran majlis rumah terbuka atau majlis jamuan hari raya bertujuan mengelakkan perkumpulan orang ramai yang mendorong penularan wabak pandemik Covid-19 yang sedang meningkat ketika ini.
Sementara itu, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil turut mengingatkan orang ramai supaya terus patuh kepada SOP meskipun selepas perayaan Aidilfitri bagi membendung penularan yang semakin membimbangkan di Pahang. – PAHANGMEDIA