KERAJAAN PAHANG PERKUKUHKAN ASAS TRANSFORMASI DIGITAL UNTUK TINGKAT CAPAIAN INTERNET

KUANTAN, 17 MEI 2021: Kerajaan Pahang kini dalam usaha memperkukuhkan asas transformasi digital bagi memastikan capaian kepada internet dapat dinikmati oleh lebih ramai masyarakat pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan Pahang bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat menjalankan usaha melalui program Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Program JENDELA ini bermatlamat memperluas dan meningkatkan liputan telekomunikasi dalam usaha mengurangkan jurang digital antara masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin mencabar, kesalinghubungan dalam dunia digital adalah menjadi teras utama semua aspek pembangunan. ICT adalah sebahagian daripada norma baharu kehidupan pada hari ini.

“Banyak negara kini menjadikan transformasi digital sebagai agenda utama bagi memastikan aktiviti dan pembangunan yang dirancang terus berjalan dan tidak terkecuali bagi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2021 hari ini.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, bertepatan dengan tema WTISD pada tahun ini iaitu “Accelerating Digital Transformation in challenging times” diharapkan semua pihak akan mampu menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini dan terus memacu pembangunan industri komunikasi serta multimedia Negeri Pahang ke tahap yang lebih baik.

“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Selamat menyambut Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat kepada semua semoga kita terus menjadi warga digital yang bertanggungjawab dan menjadikan dunia digital sebagai pemacu dalam pembangunan kehidupan kita,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds