Bot yang dinaiki empat nelayan warga Myanmar, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menangkap ikan di 1.0 batu nautika tenggara Kuala Kuantan, di sini. / FOTO : IHSAN APMM

APMM TAHAN EMPAT NELAYAN MYANMAR GUNA BOT TEMPATAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 APRIL 2021 : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat nelayan Myanmar yang menggunakan bot nelayan tempatan di perairan Kuala Kuantan, Rabu lepas.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran Haji Daud dalam satu kenyataan kepada media berkata bot kelas C berkenaan ditahan kira-kira 1.0 batu nautika tenggara bersama satu tan hasil tangkapan.

“Semasa bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan Op Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan, telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim.

Empat nelayan warga Myanmar yang ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kerana melanggar syarat dah lesen menangkap ikan. /FOTO : IHSAN APMM

“Bot tersebut berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati empat kru termasuk tekong warga Myanmar berumur antara 27 sehingga 36 tahun disyaki melakukan kesalahan kerana permit kerja telah tamat tempoh serta dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan bersama peralatan dan hasil tangkapan telah diiringi ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Kuantan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah  Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat lesen dan syarat pas kerja.

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan kecemasan atau jenayah berkenaan maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download