YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima pada pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang.
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 23 APRIL 2021:YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Yayasan Pahang mengumumkan bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan Yayasan Pahang bagi meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pemberian bonus ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangan Yayasan Pahang yang terus membantu menguruskan anak syarikat kerajaan negeri itu dengan cemerlang.
“Bantuan atau bonus ini kita boleh berikan kepada kakitangan Yayasan Pahang kerana pengurusan kewangan dijalankan dengan baik dan prestasi kewangan kerajaan negeri juga diuruskan dengan berhemah.
“Kalau kita tengok kepada peningkatan pendapatan dicatatkan Yayasan Pahang, tahun lalu kita memperoleh pendapatan RM169 juta dan jumlah ini menunjukkan peningkatan melebihi RM40 juta berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, malam tadi.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada sembilan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pahang; Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Cawangan Pahang.
Turut menerima sumbangan daripada Kerajaan negeri pada majlis itu ialah Pasukan Bahas Guru Pahang yang memenangi Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada anak jati Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang layak melanjutkan pengajian ke Harvard College di Amerika Syarikat bulan Ogos ini.
Sementara itu, beliau berkata, sejak penubuhan Yayasan Pahang pada 1983 sehingga 2020, Yayasan Pahang telah menyumbang sebanyak RM1.32 bilion yang memanfaatkan lebih satu juta penerima. – PAHANGMEDIA