Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 MAC 2021 : Pahang kekal dengan keputusan fatwa bahawa orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah seperti mana yang telah diputuskan pada tahun 2008.
Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata keputusan ini telah diputuskan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali ke-2/2008 pada 11 dan 12 Jun 2008.
“Keputusan mesyuarat hukum menggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah penggunaan, pernyataan, penyebaran, percakapan, apa-apa bentuk penerbitan samada media elektronik atau media cetak menggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang boleh mengeliru atau memesongkan akidah kepada umat Islam sebagaimana termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam No.5 tahun 1985 dan lain-lain istilah agama Islam yang dipakai oleh orang Islam untuk kegunaan agama Islam adalah tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
“Kesalahan menggunakan kalimah Allah dan istilah agama Islam telah termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam No.5 tahun 1989,” menurut kenyataan tersebut.
Beliau berkata, ini berikutan perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity dan berbeza maksudnya.
“Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah SAW.
“Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
“Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El. Eloh, Elohim dan juga Yhwh,” katanya.
Tambah beliau lagi kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
Menurut beliau lagi, perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“…dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
“Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
“Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya.
“Ini kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.
“Kalimah Allah sebenarnya tidak ada dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.
“Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata fatwa perlu dikeluarkan oleh jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
“Pertimbangan jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
“Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama,” katanya. -PAHANGMEDIA