YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
PKPD: KERAJAAN PAHANG GERAKKAN BANTUAN SEGERA KEPADA PENDUDUK PULAU TIOMAN
KUANTAN, 15 MAC 2021: Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas Pulau Tioman bermula esok, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah meminta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain menggerakkan misi bantuan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi di sana.
Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Rompin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSB) serta beberapa yang lain, akan turut dilibatkan secara aktif bagi menyempurnakan misi bantuan itu.
“Keutamaan dan keprihatinan Kerajaan Negeri ialah pada aspek kesihatan dan kebajikan penduduk di pulau tersebut yang melibatkan 860 Ketua Isi Rumah (KIR) atau keluarga kesemuanya,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Gambar hiasan
Beliau juga mengharapkan dengan bantuan segera itu, penduduk di pulau itu tidak terkesan teruk dengan langkah PKPD yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 baik secara dalaman mahupun ke luar.
Menurut beliau, dengan bantuan segera itu juga akan menjamin kebajikan penduduk sentiasa terpelihara dalam mengharungi tempoh PKPD selama 14 hari bermula esok sehingga 29 Mac 2021.
“Sehubungan itu saya berharap, penduduk terbabit dapat bersabar serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. -PAHANGMEDIA