MASALAH AIR DI KERATONG SELESAI SEPENUHNYA

Oleh : Fairus Mohd

ROMPIN, 19 JULAI 2021 : Pengguna 11,000 akaun air di Keratong dan kawasan-kawasan terlibat boleh menarik nafas lega selepas masalah bekalan air telah kembali pulih sejak semalam.

Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek berkata, ada kawasan menerima bekalan air yang perlahan semalam tapi sudah pulih seperti sediakala hari ini.

“Pihak PAIP telah lakukan ujian, berbagai indikator-indikator yang baik telah membolehkan loji kembali beroperasi sejak kelmarin.

“Taburan hujan yang banyak dan berterusan selama beberapa juga telah membantu keadaan pulih,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Dalam pada itu katanya, PAIP akan terus melakukan pemantauan dan pemerhatian sekiranya terdapat perubahan-perubahan pada keadaan air.

Pada 6 Julai lalu, pencemaran Sungai Pukin di Ulu Keratong berlaku selepas tebing salah satu daripada lapan buah kolam rawatan sisa sawit milik sebuah kilang di sini yang runtuh.

Pencemaran berkenaan telah menyebabkan lebih 11,000 akaun pengguna air di sekitar kawasan berkenaan terjejas hampir dua minggu. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram