Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Osman

‘KORBAN’ HADAPI PANDEMIK PADA SAMBUTAN AIDILADHA

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 19 JULAI 2021 : Halangan dan kekangan terhadap masyarakat khususnya umat Islam melakukan ziarah dan kunjung mengunjung menjelang perayaan Aidiladha ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan suatu pengorbanan dalam usaha memutuskan pandemik COVID-19 di negara ini.
 
Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Osman berkata, pengorbanan ini sangat dituntut dalam agama terutama apabila mengarah ke arah kebaikan.
 
Jelasnya, jika dibandingkan dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS bersama keluarganya, pengorbanan ini hanyalah kecil meski pun tidak dapat meraikan hari raya korban bersama ahli keluarga, rakan dan kenalan.
 
“Mungkin terdapat dikalangan kita yang tidak dapat merayakan Hari Raya Aidiladha seperti biasa, tidak seperti sebelum ini, maka dengan sekatan dan SOP yang menyekat bebas bagi merayakan Hari Raya Aidiladha ini, itu merupakan satu pengorbanan kepada kita bagi menyelamatkan negeri dan negara kita daripada terus menular jangkitan wabak penyakit ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
 
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memerangi wabak ini adalah amalan sunnah baginda Rasulullah saw bagi menghentikan penyebaran pandemik ini.
 
Beliau turut menekankan amalan berkorban yang secara tidak langsung dapat membantu umat Islam dan masyarakat yang ketika ini berdepan kesusahan bagi mendapatkan bekalan makanan ekoran kesempitan hidup.
 
Jelasnya, bantuan dan sedekah ini bukan sahaja dapat dikongsi dengan banyak pihak malah ini juga merupakan peluang dan ruang untuk umat Islam bersilaturrahim melalui sedekah sesama kenalan dan jiran tetangga di kala pandemik masih melanda negara.
 
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan Hari Raya Aidiladha sama ada ketika menunaikan solat sunat Aidiladha mahu pun menunaikan ibadah korban. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download