Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato' Hamdan Hussin ketika merasmikan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai (Pelupusan Sisa Binaan dan Perobohan) di Mukim Sungai Karang di Kuantan

FASILITI PENGURUSAN SISA BINAAN DAN PEROBOHAN BANTU KEKANG MASALAH PEMBUANGAN HARAM

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 26 OKTOBER 2022 : Kewujuan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai bagi Pelupusan Sisa Binaan dan Perobohan yang pertama di negeri ini merupakan satu fasiliti inisiatif hijau yang akan menyokong pelestarian Bandaraya Kuantan selain mengekang masalah pembuangan sisa binaan dan perobohan secara haram.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, usaha ini mendapat kerjasama daripada Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) yang menyediakan kawasan seluas 3.6 hektar lengkap bersama fasiliti berkaitan di mukim Sungai Karang selain penglibatan Solid Waste Corporation (SWCorp) sebagai badan pelaksana dan pemantauan sisa pepejal.

Menurutnya, susulan itu juga kontraktor serta pemaju turut disyaratkan mempunyai permit sisa lengai bagi kerja-kerja pelupusan sisa binaan tidak lama lagi.

“Kita tahu sebelum ini banyak sisa-sisa bahan binaan ini dibuang secara haram. Ini menyebabkan gangguan kepada masyarakat dan alam sekitar. Jadi dengan penggunaan kaedah yang lebih teratur ini bukan sahaja dapat memulihara alam sekitar sekali gus mengawal pelupusan haram.

“Melalui pembinaan fasiliti inisiatif hijau ini, kelestarian dan kebersihan bandar Kuantan ini dijangka dapat dipertingkatkan lagi,” katanya kepada pemberita dalam sesi lawatan tapak selepas merasmikan Fasiliti Pengurusan Sisa Lengai (Pelupusan Sisa Binaan dan Perobohan) di Mukim Sungai Karang, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES), Dato’ Mohd Zain Hassan.

Penyediaan khidmat pengurusan tapak pembuangan dan pelupusan sisa lengai tersebut akan mengenakan bayaran sebanyak RM16 per tan.

Tapak pelupusan ini dibina di kawasan tapak milik Alam Flora Sdn Bhd di mana hasil daripada sisa yang telah dilupus di fasiliti tersebut akan dikitar semula, seterusnya akan diguna semula dalam industri pembinaan.

Mengulas lanjut, Dato’ Hamdan berkata, dalam tempoh perancangan jangka panjang tapak tersebut boleh dijadikan tempat pembangunan perniagaan dan beriadah.

“Saya yakin, akhirnya seluruh kawasan tapak ini nanti akan diusahakan sebagai satu kawasan rekreasi. Bukan itu sahaja, dalam tempoh sepuluh tahun akan datang ia akan dijadikan kawasan pelancongan yang sangat menarik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata fasiliti yang dibina ini dijana secara sistematik dan dijangkakan boleh bertahan selama tujuh hingga sepuluh tahun dan sisa yang diterima di sini termasuklah sisa konkrit, batu bata atau baur dan berasaskan simen dengan kapasiti binaan dan perobohan dianggarkan 120 hingga 170 tan sehari.

“Transformasi daripada ekonomi linear kepada kitaran ekonomi (circular economy) yang berteraskan kepada prinsip mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula perlu diperluas lagi ke arah meminimumkan penjanaan sisa pepejal dan memaksimumkan penggunaan sumber, agar seterusnya dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida kepada alam sekitar,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram