BERSYARAH SAMBIL BERDAKWAH SECARA MAYA

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 22 JULAI 2021 : Pelajar sekolah menengah agama dan kebangsaan serta belia berusia hingga 25 tahun dialu-alukan untuk menyertai pertandingan syarahan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ yang menyediakan hadiah lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pertandingan syarahan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ ini diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Saya ingin mengajak anak-anak sekalian bersyarah di platform maya, sambil berdakwah sambil rebut hadiah yang disediakan.

“Ia bertujuan memenuhi masa lapang remaja ketika ini di rumah masing-masing. Marilah kita isi dengan aktiviti berilmiah dan bersama-sama memperoleh manfaatnya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Program kelolaan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang turut mendapat sokongan YAB Menteri Besar Pahang ini dibuka untuk pendaftaran bermula 19 Julai lalu hingga 4 Ogos depan.

Dua kategori yang dipertandingkan ialah kategori remaja (umur 13 hingga 17 tahun) dan kategori belia (umur 18 hingga 25 tahun) yang menyediakan hadiah RM3,000 bagi tempat pertama, RM2,000 bagi tempat kedua, RM1,000 tempat ketiga dan lima hadiah saguhati bernilai RM500.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berharap agar program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan belia dalam mencungkil bakat yang ada dalam diri masing-masing.

“Saya berharap program ini dapat mendidik remaja memanfaatkan media maya dengan cara yang lebih positif terutamanya pada musim pandemik ini.

“Terkurung di rumah tidak bermaksud kita tidak boleh melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, tetapi teruslah mencari ilmu dan mencungkil serta mengasah bakat yang ada untuk kebaikan bersama,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram