Gambar hiasan

COVID-19 : KLUSTER PASAR KEMUNTING CATAT INDIVIDU POSITIF TERTINGGI SEBANYAK 1,260 KES

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 22 JULAI 2021: Kluster Pasar Kemunting mencatatkan jumlah individu dikesan positif COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 1,260 kes daripada kesemua sembilan kluster aktif yang direkodkan di Kuantan.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata, sebanyak 10 kes kematian juga dilaporkan berkaitan dengan kluster tersebut.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah

“Terdapat sembilan kluster aktif di daerah Kuantan iaitu Kluster Pasar Kemunting dengan jumlah dikesan positif COVID-19 sebanyak 1,260 kes dengan 10 kematian.

“Kluster Indera Mahkota 16 dengan 341 kes melibatkan enam kematian, Kluster Industri Bypass Gebeng (227 kes), Kluster Kilometer 22 Jalan Gambang (36 kes dengan satu kematian).

“Manakala Kluster Jalan Gebeng 1/11 (30 kes), Kluster Jalan Tanah Putih (108 kes dengan satu kematian), Kluster Jalan Gebeng 2/3 (19 kes), Kluster Jalan Mahkota (37 kes), dan Kluster Jalan Pak Ngah Aziz ( 28 kes),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 7,947 kes dikesan positif COVID-19 dicatatkan di daerah Kuantan setakat 20 Julai dengan jumlah kes aktif adalah sebanyak 26 peratus iaitu 2,060 kes.

“Bilangan kes aktif adalah 2,060 iaitu 26 peratus dan kes sembuh adalah 5,805 iaitu 73 peratus secara keseluruhan tempoh berkenaan, dan terdapat 82 kes kematian COVID-19 direkodkan berlaku di daerah Kuantan.

Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti di daerah ini bermula 18 Julai lepas dilaksanakan berikutan peningkatan kes di lokaliti berkenaan.

“Lokaliti terlibat adalah Tanjung Lumpur, Peramu, Kampung Anak Air, Sg Derhaka, Kempadang, Sungai Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas & Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku.

“PKPD dilaksanakan di 13 lokaliti ini disebabkan oleh peningkatan kes di lokaliti terbabit dan tindakan ini amat perlu untuk menghentikan penularan rantaian jangkitan kepada penduduk di lokaliti tersebut,” katanya.

Beliau bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang turut menyeru semua rakyat di negeri Pahang supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pematuhan terbaik adalah duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting. Elakkan daripada mengunjungi tempat yang sesak. Pastikan pemakaian double mask jika terpaksa mengunjungi tempat yang sesak bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 terutamanya oleh varian Delta.

“Sesiapa yang mempunyai gejala perlu ke klinik dengan kadar segera yang berdekatan untuk diambil sampel. Sesiapa yang mengetahui menjadi kontak rapat kes COVID-19, perlu menjalani kuarantin kendiri dan hadir di mana-mana klinik kesihatan untuk dibuat ujian.

“Masyarakat perlu mendaftar segera untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Sesiapa yang telah diberi temujanji, sila hadir mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download