Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 JANUARI 2021: Seramai 118 individu telah ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sepanjang tahun 2020 berkaitan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sebanyak 74 kes telah dibuka kertas siasatan yang melibatkan tangkapan seramai 118 individu.
Beliau berkata, sebanyak 29 operasi bersepadu juga telah berjaya diadakan bersama dengan agensi kerajaan yang lain sepanjang tahun lepas.

“Operasi ini melibatkan kerjasama bersama antaranya pihak Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTGNP), Pejabat Tanah Daerah (PTD), PERHILITAN dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.
“Operasi penguatkuasaan juga sentiasa dijalankan oleh pihak jabatan secara berkala, sama ada secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang lain mahupun operasi di peringkat dalaman yang membabitkan aset dan kakitangan perhutanan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP), di sini.
Dalam pada itu beliau juga turut menjelaskan, Kerajaan Pahang hanya menebang kira-kira 54 peratus kawasan Hutan Simpan Kekal di negeri ini berbanding jumlah Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) bagi tahun 2020.
Menurutnya, secara keseluruhannya, CTT yang diluluskan oleh MTN untuk tahun 2020 adalah berkeluasan 13,687 hektar.
“Berbanding jumlah yang telah diluluskan oleh MTN, kita hanya menebang kawasan seluas 7,404 hektar daripada jumlah yang tersebut dan ia masih mempunyai baki sebanyak 6,283 hektar lagi.
“Dan semua kawasan yang ditebang ini, akan dibuat rawatan secara tanaman di kawasan matau, lorong penarik dan juga penanaman di kawasan yang terosot,” katanya.
Tambah beliau lagi jumlah keseluruhan kawasan Hutan simpanan Kekal yang telah diwartakan di negeri ini adalah seluas 1,550,687.14 hektar iaitu melebihi 50 peratus daripada keseluruhan tanah di negeri Pahang. -PAHANGMEDIA