Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bakal memperkenalkan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBNP) bermula 2027 menerusi penjenamaan semula pelbagai bantuan Pahang bagi menyelaraskan pelbagai bentuk bantuan di bawah satu inisiatif yang lebih menyeluruh.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, iBNP akan menggabungkan pelbagai bentuk bantuan Kerajaan Negeri termasuk Inisiatif Makmur Pahang dan Apresiasi Pahang 1st bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, penjenamaan baharu itu merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh agenda kebajikan rakyat yang menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 2022, Bantuan Prihatin Pahang yang kemudiannya diteruskan menerusi Inisiatif Makmur Pahang telah melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM245.61 juta dalam tempoh lima tahun.
“Sejak tahun 2022, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Bantuan Prihatin Pahang yang kemudiannya diteruskan melalui Inisiatif Makmur Pahang dengan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM245.61 juta sepanjang tempoh lima tahun.
“Bagi tahun 2027, usaha ini akan diperluaskan melalui penjenamaan baharu, iaitu Inisiatif Bantuan Negeri Pahang, iBNP, yang menggabungkan seluruh bentuk bantuan termasuk Inisiatif Makmur Pahang dan Apresiasi Pahang 1st, supaya manfaatnya dinikmati oleh seluruh rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Penjenamaan semula itu turut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperluas manfaat bantuan kepada rakyat menerusi penyelarasan pelbagai program kebajikan di bawah satu inisiatif.
Melalui iBNP, Kerajaan Negeri berhasrat memastikan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan dapat terus dimanfaatkan oleh kumpulan sasar selaras dengan aspirasi mengutamakan kesejahteraan rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

