Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencatatkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion bagi tempoh lima tahun berturut-turut sejak 2022 apabila jumlah kutipan tahun ini mencecah RM1.203 bilion setakat 19 November lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah berkenaan bersamaan 94.05 peratus daripada sasaran kutipan hasil RM1.279 bilion yang ditetapkan bagi tahun 2026.
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kedudukan kewangan melalui pengurusan yang lebih berdisiplin, peningkatan kecekapan kutipan hasil serta pengurusan sumber dan aset negeri secara optimum.
“Alhamdulillah, atas segala usaha ini, hutang negeri berjaya dikurangkan daripada RM3.3 bilion kepada RM825 juta tidak termasuk pinjaman bekalan air yang akan dinovasikan.
“Kutipan hasil pula berjaya melepasi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut, dari tahun 2022 hingga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha memperkukuh pengurusan kewangan negeri menjadi antara keutamaan sejak diberikan amanah menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri pada 15 Mei 2018.
Katanya, prestasi ekonomi Pahang turut menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dari 2021 hingga 2025, mengatasi purata nasional sebanyak 5.2 peratus.
Menurut beliau, nilai KDNK negeri juga meningkat hampir 28 peratus daripada RM55.44 bilion pada 2021 kepada RM71 bilion pada 2025, sekali gus memperlihatkan perkembangan ekonomi negeri sepanjang tempoh berkenaan.
“Bagi saya, pencapaian ini bukan sekadar angka untuk dibanggakan. Ia menunjukkan bahawa usaha memperkukuh pengurusan negeri dan mengembangkan potensi ekonomi mula memperlihatkan hasil.
“Atas dasar itu, Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan, agama Islam, kesihatan, kebajikan, keterjaminan makanan dan modal insan melalui pelbagai inisiatif di bawah kerangka Aspirasi Pahang 1st,” katanya. -PAHANGMEDIA

