Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
TEMERLOH, 21 OKTOBER 2026 : Seramai 2,202 petugas kesihatan daerah Temerloh menerima Baucar Aspirasi Pahang 1st sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam menghargai sumbangan barisan hadapan sektor kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, inisiatif cetusan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan penjawat awam yang banyak berbakti kepada rakyat.
Tambahnya, bantuan berkenaan turut memperlihatkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

“Saya bersyukur pada petang ini dapat mewakili YAB Menteri Besar Pahang bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang bagi memenuhi hasrat penyampaian bantuan Aspirasi Pahang 1st kepada penjawat-penjawat kesihatan di daerah Temerloh, sama ada di HOSHAS ataupun di bawah pejabat kesihatan kumpulan sokongan.
“Kita tadi seramai 2,200 orang penerima dan setiap orang menerima sebanyak RM100 berbentuk baucar dan dianggarkan dalam RM220,000.
Ini sebenarnya adalah satu bukti kombinasi di antara Kerajaan Negeri dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan hospital-hospital di setiap daerah di negeri Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Pahang pada Majlis Penyampaian Baucar Apresiasi Pahang First kepada Petugas Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang 2026 di Auditorium Bakawali, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini.
Katanya lagi, usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor kesihatan turut dilaksanakan menerusi kerjasama dalam pelbagai inisiatif, termasuk pemeriksaan mata dan saringan awal kanser payudara bagi wanita.
Katanya, walaupun pembangunan infrastruktur kesihatan terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tetap berusaha membantu mengikut kemampuan bagi meningkatkan keselesaan petugas serta rakyat yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Benda-benda yang boleh kita bantu secara kecil-kecilan itu kita usahakanlah demi kepentingan orang ramai dan demi keselesaan penjawat-penjawat awam di hospital dan juga di Jabatan Kesihatan Negeri dan daerah itu dapat dilaksanakan dalam bentuk kebersamaan dan ada keselesaan, alhamdulillah,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

