Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 21 OKTOBER 2026 : Inisiatif Kerajaan Negeri Pahang mengadakan pertemuan bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disifatkan sebagai satu penghormatan besar yang membuktikan jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat terus dihargai.
Mereka menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai satu usaha yang cukup bermakna, terutama bagi bekas wakil rakyat yang telah lama bersara dan jarang berpeluang berkumpul dalam suasana sedemikian.
Menurut YH. Dato’ Sri Tan Sri Lim Ah Lek, kunjungan Speaker Dewan Negeri Pahang merupakan satu penghormatan besar daripada Kerajaan Negeri kepada bekas ADUN yang pernah berkhidmat di Pahang.

“Sebagai bekas ADUN, ini yang pertama kali Speaker datang dari Kuantan, datang ke Kuala Lumpur berjumpa dengan kita. Kita memang berbanggalah.
“Ini satu penghormatan yang besar kepada saya, memang satu kenangan yang bersejarah. Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan kepada Dato’ Sri Speaker, ini satu penghormatan yang paling besar kepada saya,” katanya.
Menurut YH. Dato’ Sri Tan Sri Chan Kong Choy, pertemuan ini turut membuka ruang untuk mengimbau kembali kenangan sepanjang berkhidmat dan merakamkan penghargaan kepada di atas usaha murni yang disifatkan mampu mengeratkan kembali hubungan antara bekas wakil rakyat.

“Saya merasa amat gembira dan ini merupakan satu penghormatan yang diberikan kepada bekas ADUN yang pernah berkhidmat di negeri Pahang. Perjumpaan ini juga membolehkan kita, membawa balik banyak kenangan yang cukup manis dengan Almarhum Tuanku, dengan Menteri Besar-Menteri Besar yang kita pernah bersama untuk berkhidmat di negeri Pahang.
“Maka saya amat berterima kasih kepada Dato’ Sri Speaker. Ini merupakan satu usaha yang cukup mulia dan kita memang amat menghargainya,” katanya.
Sementara itu, YH. Dato’ Sri Mohd Sarit Haji Yusof menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai bukti bahawa jasa mereka tidak dilupakan meskipun sudah lama meninggalkan dunia politik.
Menurut beliau tempoh perkhidmatan seseorang wakil rakyat mungkin berbeza, sama ada satu penggal atau lebih, namun sumbangan mereka tetap mempunyai nilai tersendiri dalam pembangunan negeri.
“Kita yang sudah lama bersara ini berasa dihargai dan tidak dilupakan. Menteri Besar dan Speaker masih mengingati sumbangan yang pernah kita berikan sebagai wakil rakyat.
“Saya sangat gembira dan tidak menyangka pertemuan ini diadakan khusus untuk menghargai kami. Saya rasa ini satu usaha yang sangat baik,” katanya.
Program Ziarah Kasih YB. Speaker ini diadakan bagi menghargai jasa dan khidmat bekas ADUN yang pernah berkhidmat di negeri Pahang di samping memperkukuh hubungan silaturahim di antara pemimpin terdahulu dan kepimpinan semasa demi kesinambungan pembangunan Pahang. -PAHANGMEDIA

