KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Pahang menyambut baik langkah FELDA memperkemas proses pengesahan dan permohonan bekalan utiliti bagi rumah generasi baharu FELDA, khususnya membabitkan Rumah Kedua 1 Lot.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah berkenaan penting bagi membantu menyelesaikan isu yang telah sekian lama dihadapi sebahagian peneroka dan generasi baharu, terutama mereka yang telah membina serta menduduki rumah tetapi masih berdepan kekangan mendapatkan bekalan elektrik dan air.
Menurut beliau, FELDA juga telah mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari kaedah terbaik untuk memudahkan proses kemasukan bekalan elektrik.
“Terbaharu, FELDA turut memberi kuasa kepada Pengarah Wilayah untuk mengesahkan dan menandatangani surat sokongan kemasukan bekalan utiliti, tertakluk kepada syarat dan semakan yang ditetapkan.
“Kerajaan Negeri Pahang melihat langkah ini sebagai satu perkembangan yang positif kerana ia dapat mempercepatkan urusan rakyat serta mengurangkan kerenah birokrasi, khususnya bagi permohonan yang telah memenuhi segala syarat dan mendapat kelulusan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kerjasama antara FELDA, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi utiliti perlu terus diperkukuh supaya setiap permohonan yang layak dapat diproses dengan lebih cepat, teratur dan telus.
Katanya, keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik dan air perlu diberikan keutamaan, manakala setiap permasalahan hendaklah diselesaikan melalui pendekatan konstruktif mengikut peraturan dan bidang kuasa masing-masing tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan peneroka dan generasi baharu FELDA sentiasa terbela,” katanya. -PAHANGMEDIA

