Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Fadhil Roslizan
CAMERON HIGHLANDS, 10 SEPTEMBER 2026 : Gunung Irau bukan sekadar destinasi pendakian, malah merupakan khazanah warisan alam Pahang yang perlu dihargai, dicintai dan dipelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, keindahan Gunung Irau yang berketinggian 2,110 meter dari aras laut menyuntik keinsafan kepada setiap pendaki mengenai tanggungjawab memelihara khazanah alam berkenaan.
“Gunung ini bukan sekadar untuk dipandang, tetapi untuk dihargai, dicintai dan dipelihara. Ia adalah khazanah warisan alam Pahang yang dianugerahkan Allah SWT untuk dinikmati hari ini dan diwariskan dengan penuh amanah kepada generasi yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Ekspedisi Mendaki Gunung Irau Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, di Mossy Forest, di sini, hari ini.
Ekspedisi berkenaan melibatkan 121 peserta daripada 42 agensi kerajaan dan bukan kerajaan, selain disokong oleh 41 anggota keselamatan, jabatan dan agensi dari seluruh Pahang.
Pelepasan ekspedisi disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah pada jam 8.12 pagi hari ini, sekali gus menyaksikan para peserta memulakan pendakian ke Gunung Irau selepas laluan berkenaan ditutup selama lebih 10 bulan.

YB Dato’ Fadzli berkata, walaupun peserta hadir daripada latar tugas dan tanggungjawab yang berbeza, ekspedisi berkenaan menyatukan mereka melalui satu langkah, satu semangat dan satu tekad.
“Syukur alhamdulillah, Negeri Pahang Darul Makmur dikurniakan kekayaan alam yang cukup luar biasa. Daripada banjaran gunung yang menjulang tinggi, hutan hujan tropika yang menghijau, sungai dan tasik yang mengalir tenang, hinggalah pantai serta pulau-pulau yang indah membiru, kesemuanya merupakan khazanah dan aset bernilai yang bukan sahaja wajar kita banggakan, malah perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Ekspedisi berkenaan turut menjadi simbolik kepada usaha memperkukuh budaya rekreasi dalam kalangan masyarakat, selain mengetengahkan potensi khazanah alam Pahang sebagai tarikan ekopelancongan yang perlu diurus secara bertanggungjawab dan lestari. -PAHANGMEDIA

