Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan keseluruhan berjumlah RM173.93 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang (IMPahang) sejak 2024 hingga 2026.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM38.8 juta pada 2024, diikuti RM50.54 juta pada 2025 dan meningkat kepada RM84.59 juta pada 2026.
Menurutnya, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat, khususnya menerusi pelaksanaan pelbagai bantuan di bawah Inisiatif Makmur Pahang.
“Insya-Allah, pada tahun 2027 dalam bajet, kita akan naikkan lagi bantuan Inisiatif Makmur ini kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Dato’ Mohd Sharin Haji Md Zain pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang turut berjaya menghasilkan impak signifikan terhadap pembangunan insan dan kesejahteraan rakyat, khususnya menerusi peningkatan prestasi pendidikan.
“Bagi keputusan SPM 2025, Pahang muncul sebagai negeri kedua terbaik di peringkat kebangsaan dengan pencapaian Gred Purata Negeri 4.08 mata berbanding Gred Purata Kebangsaan 4.42 mata.
“Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM di peringkat kebangsaan dengan Gred Purata Sekolah 0.60 mata. Manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang mencatat GPS 1.06 mata, antara yang terbaik di peringkat nasional.
“Bagi pencapaian STPM 2025, Pahang mencatatkan rekod Purata Nilai Gred Keseluruhan tertinggi iaitu 3.09 mata,” katanya. -PAHANGMEDIA

