KUANTAN, 26 OGOS 2026 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, merafak sembah dan menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Paduka Kekanda Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kemangkatan Almarhumah pada jam 9.15 malam tadi, 26 Ogos 2026 bersamaan 13 Rabiulawal 1448 Hijrah, merupakan satu kehilangan besar khususnya kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta seluruh keluarga dan Kerabat Diraja Pahang.
“Patik mewakili Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta seluruh rakyat jelata Negeri Pahang Darul Makmur, merafak sembah dan menzahirkan ucapan takziah di atas kemangkatan Paduka Kekanda Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, Almarhumah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa, menerima segala amal ibadah serta menempatkan Almarhumah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – PAHANGMEDIA

