Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 JULAI 2026 : Program Anggun Suri terus mendapat sambutan menggalakkan apabila bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pasangan muda untuk mendirikan rumah tangga, malah mendorong Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, mengumumkan tambahan tajaan kepada 10 lagi pasangan bermula tahun hadapan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia itu berkata, langkah berkenaan diambil sebagai tanda sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri Pahang yang disifatkannya sebagai inisiatif berpandangan jauh dalam membantu golongan muda membina keluarga.
“Program ini membantu anak-anak muda membina keluarga lebih awal, sekali gus melahirkan generasi yang akan terus membangunkan negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-Ramai) Tahun 2026 Parlimen Paya Besar bertempat di Dewan Paya Besar Dato’ Sri Abdul Manan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata beliau akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen bagi menaja 10 lagi pasangan pada tahun 2027, sekali gus menjadikan keseluruhan 20 pasangan di Parlimen Paya Besar menerima manfaat daripada program tersebut.
“Jika kerajaan negeri menaja 10 pasangan, saya juga akan menaja 10 pasangan lagi.
“Sekiranya kerajaan negeri menambah bilangannya pada masa akan datang, saya juga akan menambah. Program ini sangat baik kerana bukan sahaja membantu anak muda, malah melegakan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka berkahwin tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.
Beliau turut menggesa pasangan muda yang merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan agar membuat permohonan lebih awal memandangkan kuota yang disediakan adalah terhad.

Sementara itu, pasangan pengantin, Iskandar dan Noor Saadah, berkata program berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban mereka, malah merealisasikan impian beliau dan bapanya untuk melihat majlis perkahwinan diadakan secara beramai-ramai.
“Sebenarnya ayah saya memang ada impian untuk melihat saya berkahwin secara beramai-ramai seperti ini. Jadi, ini juga merupakan impian saya sejak dahulu,” katanya.

Bagi pasangan pengantin, Mupidilhakkil dan Wan Saiyidatina Aisyah pula, mereka menzahirkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang serta Kerajaan Negeri Pahang atas inisiatif yang memudahkan pasangan muda mendirikan rumah tangga.
“Terima kasih Tok Wan dan Kerajaan Negeri Pahang kerana memudahkan urusan saya dan isteri,” katanya.
Program Anggun Suri merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu mengurangkan kos perkahwinan, sekali gus menggalakkan pembentukan institusi keluarga yang sejahtera. -PAHANGMEDIA

