Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 25 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meningkatkan peruntukan penganjuran MAHA Pahang kepada RM3 juta bagi tahun hadapan berbanding RM2 juta sebelum ini, dengan Lipis dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi seterusnya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan menambah peruntukan itu dibuat bagi memastikan penganjuran MAHA Pahang terus diperkasa sebagai platform pembangunan sektor pertanian dan keusahawanan negeri.
Menurut beliau, penganjuran di Lipis pada tahun depan akan dilaksanakan dalam skala yang lebih besar serta lebih baik berbanding edisi terdahulu di Temerloh dan Raub.

“Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan Kerajaan Negeri daripada RM2 juta kepada RM3 juta yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan di daerah Lipis.
“MAHA Pahang ini juga akan dilaksanakan setiap tahun. Setakat ini, dua daerah telah menjadi tuan rumah iaitu Temerloh dan Raub. Insya-Allah tahun depan di Lipis, dan seterusnya kita akan ke daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat reruai sempena MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, di sini hari ini.
Tambahnya, penganjuran MAHA Pahang secara tahunan mampu menarik lebih ramai usahawan pertanian baharu dan sedia ada untuk meneroka peluang dalam sektor yang disifatkan sebagai progresif, dinamik serta sentiasa berkembang dari segi teknologi.

Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan terhadap MAHA Pahang 2026 di Raub yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis dan berakhir esok amat memberangsangkan, dengan kehadiran melebihi 70,000 pengunjung setakat hari ini, manakala nilai jualan telah melepasi RM1 juta daripada sasaran RM1.3 juta.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pahang mempunyai kelebihan besar dalam sektor pertanian, termasuk sebagai antara penyumbang utama eksport sayur-sayuran negara.

“Kita mempunyai kelebihan dari segi tanah yang subur dan sebagainya. Justeru, kelebihan ini perlu dimanfaatkan supaya Pahang terus muncul sebagai negeri pengeksport hasil pertanian, bukan sahaja untuk kegunaan domestik tetapi juga ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Beliau turut menggesa rakyat, khususnya golongan muda, agar melihat sektor pertanian bukan sekadar sebagai peluang pekerjaan, tetapi sebagai ruang untuk mencipta peluang pekerjaan serta membangunkan perniagaan sendiri.
“Kerajaan akan membantu mana yang mampu. Hasrat kita adalah untuk melihat rakyat Pahang bersungguh-sungguh merebut peluang ini dan menceburi bidang keusahawanan, khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya. -PAHANGMEDIA

