Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
RAUB, 24 JULAI 2026 : Penganjuran MAHA Pahang 2026 terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila pengunjung bukan sahaja hadir untuk melihat pameran, malah mengambil peluang mendapatkan ilmu serta mencari bahan tanaman dan teknologi pertanian yang bersesuaian.
Menurut Encik Jamaluddin Md Sharif, 61, dari Bentong, dia yang hadir bersama tiga rakannya adalah untuk melihat sendiri pelbagai pameran berkaitan sektor pertanian memandangkan mereka mempunyai tanah yang diusahakan secara kecil-kecilan.

“(Tujuan) Yang utamanya yang berkait dengan pertanian pasal kita duduk dekat tanah pertanian, jadi kita tengok mana pokok-pokok ke, anak benih yang sesuai untuk kita beli.
“Masing-masing ada tanah yang dia orang buat secara kecil-kecilan. Tadi tengok kelapa, memang kami nak cuba dapatkan anak benih. Tanam lebih sekadar dekat kawasan rumah,” katanya.

Encik Jamaluddin turut melahirkan rasa teruja untuk meneroka lebih banyak pameran yang disediakan pada program ini melalui suasana dan pameran yang cukup menarik.
“Ini memang menarik. Lebih-lebih memang teruja. Pertamanya kita tahu lah MAHA ni biasanya memang akan mepamerkan bahan-bahan yang menarik untuk kita nak menikmati,” katanya yang mengetahui mengenai penganjuran MAHA Pahang menerusi platform TikTok.
Bagi Puan Roslizawati Yusof, 58, dari Kampung Sempalit pula penganjuran MAHA Pahang di Raub adalah sesuatu yang membanggakan kerana mampu menarik kehadiran ramai pengunjung ke daerah itu.

“Seronok sangat sebab MAHA diadakan di Raub. Nanti Raub akan lebih dikenali dan lebih ramai orang datang ke sini,” katanya.
Anak saudaranya, Puan Amielia Syoliha Safiee, berkata mereka mengetahui mengenai program itu menerusi hebahan di Facebook, TikTok serta media sosial Kerajaan Negeri Pahang.
Menurutnya, mereka telah hadir sejak hari sebelumnya bagi mengikuti program Forum Perdana dan merancang untuk datang semula bagi meneroka keseluruhan kawasan pameran yang masih belum sempat dikunjungi.

“Kami baru sempat melihat beberapa pameran seperti penghasilan tempe dan selepas ini mahu melihat sektor ternakan pula. Lokasi yang dekat memudahkan kami datang beberapa hari berturut-turut.
“Sebelum ini MAHA diadakan di Temerloh dan Serdang yang agak jauh, jadi kali ini lebih mudah untuk kami sekeluarga hadir,” katanya.
MAHA Pahang 2026 menghimpunkan pelbagai pameran, produk, teknologi serta aktiviti berkaitan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani, sekali gus menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan perkembangan terkini dalam sektor agromakanan. -PAHANGMEDIA

