Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 24 JULAI 2026 : Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 dijadual berlangsung pada 27 Ogos depan dengan memberi tumpuan kepada pembentangan rang undang-undang, usul serta sesi pertanyaan lisan yang diperkasakan bagi memberi lebih banyak ruang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengemukakan soalan kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, persidangan yang dijangka berlangsung selama sehari itu tidak melibatkan perbahasan Titah Diraja atau Belanjawan Negeri seperti kebiasaan dalam persidangan lain.
“Antara pembaharuan kali ini ialah penambahan jumlah soalan lisan kepada setiap Exco daripada satu kepada dua soalan bagi membolehkan lebih banyak isu rakyat dibangkitkan manakala, soalan yang tidak dipilih akan dijawab secara bertulis,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Bilangan Kedua Tahun 2026 sempena Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua ADUN supaya mengemukakan soalan secara tepat, padat dan tidak meleret bagi memastikan perjalanan persidangan lebih lancar serta mudah difahami rakyat menerusi siaran langsung.
“Sebagai Speaker, saya tetap memberi ruang kepada ADUN untuk menyuarakan pandangan dan maklum balas rakyat kerana Dewan Undangan Negeri merupakan medan tertinggi untuk membincangkan isu serta membentuk dasar Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

