Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 23 JULAI 2026 : MAHA Pahang 2026 yang berlangsung di Raub dijangka mencatat kehadiran sehingga 200,000 pengunjung berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima pada hari pertama penganjurannya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, sambutan pada hari pertama memberi petanda jumlah kehadiran mampu melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
“Pihak Jabatan Pertanian Negeri Pahang menjangkakan kehadiran sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung, tetapi saya tengok hari pertama ini ramai orang berpusu-pusu datang, malah untuk berjalan pun agak tersekat-sekat. Jadi, saya jangka tidak mustahil jumlah pengunjung boleh mencecah 200,000 orang.

“Saya ucap tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Pahang serta Jabatan Pertanian Negeri Pahang atas inisiatif yang cukup baik ini,” katanya ketika ditemui pada MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, hari ini.
Tambahnya, penganjuran MAHA Pahang 2026 di Raub menampilkan skala yang lebih besar berbanding edisi terdahulu dengan penyertaan pempamer yang lebih ramai serta pelbagai tarikan baharu untuk pengunjung.

“Yang kali ini di Raub, lokasinya lebih besar dan lebih banyak pempamer. Jauh lebih banyak berbanding di Temerloh kerana di Temerloh dahulu dikenali sebagai Mini MAHA Pahang, tetapi sekarang tidak ada lagi perkataan mini.
“Ini (Program MAHA Pahang 2026) lebih besar daripada sebelumnya. Ada dua lokasi berbeza di sebelah tasik (Taman Tasik Raub) untuk lokasi ternakan. Pengunjung boleh melihat lembu Wagyu yang sememangnya menjadi antara tarikan menarik di sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai mengambil peluang mengunjungi MAHA Pahang 2026 bagi menyaksikan pelbagai keunikan dan tarikan yang disediakan khas untuk rakyat Pahang.
“Saya seru ramai-ramai datang ke MAHA Pahang 2026 dan ambil peluang melihat keunikan yang Kerajaan Negeri laksanakan khusus untuk rakyat Pahang.

“Paling menarik pada Sabtu ini, selain cabutan bertuah yang hebat dengan hadiah seperti kereta Bezza, lembu Wagyu, motosikal dan pelbagai hadiah menarik lain, akan ada juga pesta makan buah-buahan percuma di sini serta lelongan makanan basah seperti ikan dan pelbagai lagi yang akan ditentukan harganya oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya juga menggalakkan pengunjung yang hadir untuk mengimbas kod QR yang disediakan. Jadi, imbasan itu bukan sahaja untuk cabutan bertuah tetapi turut membantu Kerajaan Negeri mendapatkan angka sebenar kehadiran pengunjung,” katanya. -PAHANGMEDIA

