Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
ROMPIN, 23 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang mewujudkan lot khas bagi pembinaan tadika di setiap projek perumahan baharu yang dibangunkan di negeri ini bagi memastikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak mudah diakses oleh penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan mempertimbangkan untuk menyediakan lot sebagai tapak khas pembinaan tadika.
“Sebab kita tak nak orang ni kadang-kadang salah guna rumah. Ada orang memang memerlukan rumah, ada orang dia beli rumah, dia buat tadika. Jadi untuk itu saya dah beritahu kepada CEO supaya rumah ini dirizabkan satu, dua rumah corner lot untuk orang boleh buat tadika.

“Contoh akan datang bila ada yang baru (perumahan) dia kena ada rizabkan lot, satu, dua unit untuk kemudahan penduduk-penduduk supaya dia boleh hantar anak dia. So semua tu milik LPHP. Setiap perumahan PRR, Projek Residensi Rakyat pun macam tu, Rumah PR1MA Pahang pun macam tu,” katanya.
Beliau ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Kampung Gadak Dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Pelangi Jaya (Fasa 1A) serta PR1MA Pahang Muadzam Shah (Fasa 1) di pekarangan PR1MA Pahang Kampung Gadak, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri terus mempergiat pelaksanaan agenda penyediaan rumah mampu milik dengan sasaran pembinaan 25,000 unit rumah di seluruh Pahang dengan kira-kira 9,000 unit telah siap dibina, manakala selebihnya berada pada pelbagai peringkat termasuk perancangan, permohonan kelulusan dan pembinaan.
“Setiap permohonan akan diteliti dengan rapi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat. Kita juga sentiasa menambah baik proses saringan termasuk aspek kelayakan dan pembiayaan pembeli.
“Sekarang ni macam rumah RRP, dah kita siap lebih kurang dalam 1,300 unit dan bernilai hampir RM100 juta lebih kita belanjakan dan kita berikan secara percuma kepada golongan-golongan yang betul-betul miskin tegar, yang tak ada rumah,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah mewujudkan pelbagai skim perumahan mengikut kategori pendapatan rakyat bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang memiliki rumah.
“Sebagai contoh, Rumah Makmur disasarkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi pendapatan RM3,000 ke bawah, manakala Rumah PR1MA Pahang pula untuk isi rumah berpendapatan sehingga RM10,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata, subsidi yang diberikan Kerajaan Negeri bagi projek perumahan merupakan komitmen besar dalam memastikan harga rumah kekal mampu dimiliki, selain usaha berterusan mengurangkan kos pembinaan melalui penggunaan kaedah pembinaan yang lebih moden, pantas dan berkualiti.
Tambah beliau, pembangunan perumahan yang dirancang secara menyeluruh turut merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui penyediaan infrastruktur, peluang perniagaan dan pembangunan komuniti yang lebih seimbang. -PAHANGMEDIA

