Oleh : Syafiqah Jamaluddin
LIPIS, 15 JULAI 2026 : Inisiatif Kad Kesihatan Kasih Makmur terus menjadi antara agenda kebajikan utama Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan rakyat memperoleh akses kepada rawatan kesihatan yang lebih mudah, cepat dan berkualiti.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, setiap pemegang kad menerima kemudahan bernilai RM500 setahun yang boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.
Menurut beliau, inisiatif itu diwujudkan bagi memberi pilihan kepada rakyat mendapatkan rawatan segera tanpa perlu menunggu lama di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Melalui kad ini, penerima boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta. Sekurang-kurangnya ia memudahkan mereka yang memerlukan rawatan segera tanpa perlu menunggu giliran panjang di klinik kerajaan.

“Walaupun nilainya RM500 bagi setiap penerima, apabila melibatkan kira-kira 30,000 penerima di seluruh negeri, ia merupakan satu komitmen besar Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Padang Tengku di sini, hari ini.
Tambah beliau, Kad Kesihatan Kasih Makmur merupakan antara pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Program Permata Makmur yang menyediakan manfaat kepada setiap bayi yang dilahirkan di Pahang, di samping pelbagai lagi inisiatif kebajikan seperti Anggun Maju, Anggun Usaha dan Anggun Suri bagi membantu golongan yang memerlukan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM11,000 kepada tiga penerima bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan serta memperkukuh peranan pertubuhan dan kepimpinan wanita di daerah Lipis.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kepimpinan setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak yang sentiasa berganding bahu menjayakan agenda kebajikan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

