Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 15 JULAI 2026 : Jelajah Aspirasi Pahang 1st yang sebelum ini diadakan sebulan sekali berkemungkinan dilaksanakan dua kali sebulan susulan impak positif dalam mendekati rakyat serta membantu menyelesaikan permasalahan mereka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menilai keperluan dan kesesuaian pelaksanaannya.
“Ya, kita akan teruskan kerana ini adalah salah satu platform yang sangat baik untuk bersama dengan rakyat. Sekarang ini sebulan sekali kita buat, tetapi mungkin Tok Wan akan berbincang dengan Exco sama ada ada keperluan untuk kita adakan dua kali sebulan. Sekarang sekali sebulan, kemungkinan Tok Wan akan buat dua kali sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di Kompleks Teratai, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan meningkatkan kekerapan program itu perlu diteliti, termasuk dari segi implikasi kewangan kerana pelaksanaannya melibatkan penganjuran majlis serta perkara berkaitan.
“Bergantung kepada perbincangan dengan rakan-rakan Exco dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri kerana apabila buat di luar ini, terutama sekali dari segi implikasi kewangan, perkara ini Tok Wan harus teliti juga kerana melibatkan ‘mileage’ dan sebagainya.

“Tetapi sekiranya perlu, kita akan teruskan kerana yang penting kita dapat bersama-sama dengan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, sempena siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st kali ini, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk kerja-kerja membaik pulih Balai Raya Kampung Beralas.
“Tadi banyak permintaan yang diterima. Antara yang utama ialah Balai Raya Kampung Beralas. Tok Wan luluskan RM30,000 dan Kerajaan Negeri akan menguruskan perkara ini.
“Selain itu, terdapat permintaan lain yang telah diluluskan, ada yang masih dalam pertimbangan dan insya-Allah Tok Wan akan teliti. Jika benar-benar diperlukan oleh rakyat, insya-Allah Tok Wan akan pertimbangkan untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, program Jelajah Aspirasi Pahang 1st turut mewujudkan sinergi antara wakil rakyat dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam membantu menyelesaikan permasalahan penduduk dengan lebih cepat.
“Bila kita buat seperti ini, rakan-rakan wakil rakyat akan membantu, dapat mempercepatkan lagi proses penyelesaian dan membantu wakil rakyat tempatan untuk kita mendengar masalah. Tetapi kalau kami boleh turun sendiri, itu lebih baik.
“Maksudnya kalau dulu masalah itu mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan, apabila kami turun, mungkin boleh diselesaikan dalam masa sebulan.
“Rakan-rakan Exco yang turun padang ini juga bukan datang dengan tangan kosong. Mereka membawa sedikit peruntukan untuk diluluskan sekiranya perkara itu benar-benar diperlukan,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

