Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 22 MAC 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Menteri Besar Pahang yang berlangsung meriah di Dewan Sri Lanchang, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta anakanda-anakanda Paduka Baginda.

Ketibaan Paduka Baginda sekitar jam 12 tengah hari disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sti Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Majlis bertemakan Moh Beraya @ Negeri Pahang itu mendapat sambutan luar jangka apabila kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri perkarangan dewan bermula seawal jam 9 pagi.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy ketika ditemui media menzahirkan penghargaan atas keberangkatan KDPB Sultan Pahang dan keluarga diraja yang menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar serta penyeri majlis berkenaan.

“Hari ini hari raya kedua. Pertama sekali, patik menjunjung kasih di atas keberkatan KDPB Sultan Pahang, KDPB Tengku Ampuan Pahang, KDPM Tengku Mahkota Pahang, serta anakanda-anakanda yang datang ke majlis jamuan hari raya patik pada hari ini yang dibuat di Lanchang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang dapat datang pada hari ini, memeriahkan majlis hari raya ini. Dianggarkan puluhan ribu yang datang. Lebih kurang antara 20,000 lah lebih kurang yang datang. Sekarang pun masih ramai lagi.
“Terima kasih kepada sahabat handai, terima kasih kepada pejabat daerah, terima kasih khusus kepada penyelaras DUN Lanchang, YH. Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh yang dapat menyelaraskan dan mengatur program yang saya kira sangat berjaya,” katanya.

Majlis rumah terbuka itu katanya bukan sahaja mencerminkan kemeriahan Aidilfitri, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian.
“Dan memang itu menjadi hasrat kita supaya hari ini kita dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri, hari raya kedua, mengeratkan ukhwah silaturahim.
“Mana mungkin untuk kita pergi rumah ke rumah… ramai. Jadi hari ini kita boleh jumpa sekali gus untuk kita bersalam-salaman, memohon kemaafan. Dan saya harap semangat kita yang ada di bulan Syawal ni akan dapat diteruskan di dalam bulan Ramadan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

