Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyediakan kemudahan Rehat dan Rawat (RnR) sementara di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya terutama pada musim perayaan ini.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan tahun lalu.
“Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengambil inisiatif menyediakan kemudahan Rehat dan Rawat (RnR) sementara di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU), khususnya menjelang peningkatan aliran trafik sempena musim perayaan dan cuti umum.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan pada tahun lalu, dengan penambahbaikan dari segi penyediaan kemudahan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan agensi-agensi penyelenggara yang terlibat supaya memastikan semua kemudahan RnR sementara ini berada dalam keadaan baik, bersih, selamat dan berfungsi dengan sempurna sepanjang tempoh operasi,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan RnR ini bagi memastikan pengguna laluan berkenaan selesa dan selamat sepanjang perjalanan.
“Walaupun penyediaan kemudahan RnR di lebuh raya ini pada asasnya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tidak mahu menunggu sehingga kemudahan kekal disiapkan sepenuhnya.
“Justeru, langkah proaktif diambil bagi memastikan pengguna jalan raya tetap mendapat kemudahan asas yang selesa dan selamat sepanjang perjalanan mereka,” katanya.
Beliau dalam kenyataan berkenaan turut melahirkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur serta kemudahan awam serta menasihatkan pengguna agar menggunakan kemudahan dengan sebaiknya.
“Pada masa yang sama, para pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya. Amalan menjaga kebersihan, tidak membuang sampah merata-rata serta mematuhi disiplin semasa berada di kawasan RnR adalah amat penting bagi memastikan kemudahan ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dalam keadaan yang selesa.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur serta kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat dan para pengguna jalan raya yang melalui negeri ini.
“Di kesempatan ini juga saya menasihati pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati dan selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya. -PAHANGMEDIA

