Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 13 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi kerja baikpulih cerun runtuh di Kampung Bukit Kumbang Mukim Jenderak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, runtuhan berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan gangguan kepada saluran air daripada tangki air di kawasan berkenaan.

“Saya sangat menghargai Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, apabila saya bentangkan kertas yang disediakan oleh pihak PAIP dan JKR pada beberapa bulan lalu, telah bersetuju bersama dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk memberikan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi membaik pulih cerun itu.
“Tebing jalan yang runtuh boleh mempengaruhi ataupun memberi kesan kepada bukan sahaja penggunaan jalan untuk orang ramai, tetapi kita ada loji air di sini, dan kita ada pam air, dan kita ada saluran air yang menampung tidak kurang daripada 3,000 akaun bagi lebih 30 buah kampung di dalam DUN Jenderak dan DUN Kerdau.

“Keruntuhan tebing ini, bukan sahaja memberi kesan yang bahaya kepada pengguna jalan yang boleh mengakibatkan kemalangan yang tidak diingini, tetapi juga kalau seandainya kita tengok pada situasi itu tadi, tidak mustahil akan memberi kesan kepada PAIP sebab kalau dia runtuh, batang paip itu tak ada tempat nak duduk. Dan yang membimbangkan kita, di atas bukit itu, ada tangki,” katanya.
Beliau berharap kerja baikpulih ini dapat dilaksanakan dengan segera memandangkan ia dapat memberi kesan kepada pengguna laluan dan penduduk yang meggunakan bekalan air daripada loji berkenaan
Beliau berkata kerja baikpulih ini akan dipastikan dapat dilaksanakan pada awal tahun ini memandangkan pihak terlibat telah memberi saranan bagi tindakan segera diambil.
“Kita akan tengok dan kita akan perhatikan apa yang patut kita laksanakan dan kita bantu. Pihak PAIP dan JKR yang telah memberikan saranan segera kepada pihak kerjaan supaya benda ini diambil tindakan segera.
“Saya akan pastikan perkara ini dapat berjalan awal tahun ini sebab itu kita buat lawatan ini. Sebab ini antara langkah kedua daripada gerak kerja kita supaya ia dibaik pulih.
“Langkah pertama kita bentangkan kertas ini dalam MMK dan dah dapat kelulusan. Langkah kedua kita datang tengok. Langkah ketiga nanti kita nak tengok dah ada kontraktor jalankan kerja,” katanya.

Beliau dalam lawatan kerja tersebut turut melawat tapak tangki di Kampung Ketumbit yang pecah pada tahun lepas dan menyebabkan berlaku gangguan pada bekalan air melibatkan 1,000 akaun disekitar.
“Dan bagi menyelesaikan masalah ini bagi jangka masa panjang, pihak PAIP telah mengetahui dan saya sendiri pun dah sebut dalam MMK, serta YAB Menteri Besar pun dah meneliti bersama PAIP perkara ini akan diatasi dengan membina satu tangki baru dengan kapasiti yang lebih selesa untuk penduduk setempat.
“Kos dianggarkan oleh pihak PAIP dalam anggaran RM4 juta dan kerja ini insyaAllah kita akan laksanakan secepat mungkin dan kita akan proses tender lepas raya,” katanya. -PAHANGMEDIA

