KUANTAN, 7 JANUARI 2026 : Istana Pahang menafikan sebarang dakwaan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj, ada menawarkan bantuan wang tunai kepada orang ramai melalui platform media sosial dan aplikasi WhatsApp.
Penafian ini dibuat susulan penyebaran mesej kepada orang ramai menggunakan nama ‘Tengku Azizah’ atau ‘Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah’ yang dikesan giat memperdaya masyarakat dengan tawaran bantuan kewangan lumayan serta meminta maklumat peribadi mangsa.
Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan tersebut merupakan cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej serta maruah institusi diraja.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan melalui media sosial.
Orang ramai juga digesa untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej mencurigakan yang menggunakan nama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.-PAHANGMEDIA

