Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 JANUARI 2026 : Projek cari gali dan pengeluaran air mineral premium oleh Bubbles O2 Sdn. Bhd. di Ladang Gambang Yayasan Pahang, di sini, dijangka mampu mewujudkan sekitar 100 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya penduduk sekitarnya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan juga dijangka akan menghasilkan sekurang-kurangnya 14 juta botol air setahun, sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi negeri ini.

Katanya, pelaburan strategik itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menarik pelaburan berimpak tinggi yang memberi pulangan langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Syarikat Bubbles O2 Sdn. Bhd. yang sudi datang ke Pahang untuk melabur dan insyaAllah ia dapat mengeluarkan lebih kurang 14 juta botol air setahun.
“Dan saya pasti ini akan menguntungkan kedua-dua pihak, bagi pihak Kerajaan Negeri sudah pastinya kita dapat meningkatkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan rakan strategik untuk jangka masa panjang,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah Bubbles O2 Sdn. Bhd. di tanah milik Yayasan Pahang, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pelabur yang ingin melabur di negeri ini dengan memastikan proses kelulusan dipermudah serta mengelakkan kerenah birokrasi, tanpa menjejaskan pematuhan terhadap peraturan dan tadbir urus.
“Dan saya memang memberi penekanan supaya kerenah birokrasi ini kita elakkan tanpa kompromi berhubung dengan peraturan ataupun tatakelola kerana saya mendapati bahawa pelabur punya banyak pilihan.

“Kalau mereka merasakan di sini kerenah birokrasinya banyak, mereka boleh pergi ke tempat lain. Walaupun kita ada sumber-sumber atau peluang-peluang yang baik untuk mereka, tetapi mereka ada pilihan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan pengeluaran sulung air mineral premium itu dijangka bermula dalam tempoh terdekat iaitu sekitar enam bulan akan datang, sekali gus membolehkan operasi perniagaan dimulakan lebih awal.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, projek tersebut berpotensi diperluaskan ke kawasan lain termasuk di Pahang Barat, berikutan permintaan tinggi terhadap produk air mineral Bubbles O2 di pasaran.

Sementara itu, projek bernilai RM20 juta itu bermula dari hasil cadangan pelaburan yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri melalui Invest Pahang, sebelum Yayasan Pahang diberi mandat untuk mengurus dan merealisasikannya sebagai pelaburan strategik negeri.
Projek yang melibatkan kawasan seluas 74 ekar di Ladang Gambang, Mukim Kuala Kuantan itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri daripada cari gali sumber air bawah tanah, pemprosesan, pengeluaran sehingga pengkomersilan air mineral premium dan dijangka mula beroperasi pada Februari 2027, tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya keperluan teknikal, perundangan dan alam sekitar. -PAHANGMEDIA

